Cadangan Penubuhan Kesatuan Skim F Sabah

Taklimat Online Penubuhan Kesatuan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Sabah

8 Ogos 2022 (Jumaat). – Dianggarkan lebih 100 peserta dari ahli Skim F Sabah telah menyertai sesi Taklimat Online Penubuhan Kesatuan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Sabah. Taklimat yang disampaikan oleh Encik Deby Rustman bin Matimpan, (Penolong Pengarah JHEKS Sabah) diadakan bagi memberikan gambaran tentang kepentingan dan proses penubuhan kesatuan bagi ahli Skim F di Sabah sebelum gerak kerja penubuhan kesatuan dimulakan.

Peserta datang dari pelbagai sektor, agensi dan jabatan. sama ada dari sektor awam persekutuan, negeri dan juga badan berkanun. Turut serta ialah ahli Skim F daripada Wilayah Persekutuan Labuan dan beberapa rakan Skim F dari Sarawak.

Taklimat berkenaan berkenaan mendapat sambutan dan telah berjaya menjawap pelbagai persoalan dan kekeliruan yang bermain di fikiran ahli Skim F Sabah.

Terima Kasih JHEKS Sabah diatas komitmen dan kerjasama yang diberikan.

Penyataan Masalah

Ketiadaan satu platform khusus untuk ahli Skim F yang bertugas di Sabah untuk menyuarakan tuntutan berkaitan kebajikan, feadah dan perkhidmatan kepada pihak majikan. Kesatuan yang didaftarkan di Semenanjung tidak boleh disertai oleh ahli-ahli Skim F yang bertugas di Sabah. Ketiadaan platform khusus juga boleh menyebabkan ahli Skim F Sabah tercicir daripada sebarang sesi libat urus perkhidmatan seperti cadangan pengwujudan Jabatan ICT negara yang dicadangkan oleh pihak PERJASA, KPPTM & CTSU.

Pengenalan

Kesatuan Skim F Sabah ditubuhkan untuk mewakili pekerja-pekerja Sistem Maklumat (skim F) sektor awam di negeri Sabah. KSFS berfungsi sebagai platform yang menghubungkan ahli-ahli Skim F di negeri Sabah dan pihak majikan (MAMPU) di Putrajaya. Melalui kesatuan, ahli-ahli Skim F Sabah boleh menyertai sesi libat urus jabatan dengan menyuarakan tuntutan berkaitan kebajikan, faedah, serta penyelesaikan pertikaian melibatkan perkhidmatan.

Kedudukan Sabah di dalam penubuhan Malaysia, pengembalian status Sabah & Sarawak sebagai rakan sekutu di dalam pindaan perlembagaan 2021 serta hak Sabah untuk menubuhkan dan menguruskan sendiri Kesatuan wajar diambil kesempatan bagi memajukan tuntutan ahli Skim F Sabah di peringkat persekutuan.

Semoga Penubuhan Kesatuan Skim F Sabah bukan sahaja membantu menguatkan tuntutan ahli Skim F di peringkat nasional, serta mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih tersusun di antara ahli Skim F di Malaysia. Malah secara langsung mengangkat isu-isu lokal Skim F yang bertugas di negeri Sabah ke peringkat nasional.

Cadangan Penubuhan

  1. Seramai 7 orang AJK penaja diperlukan. (Minimum 10 Orang Sewaktu Mesyuarat Penubuhan).
  2. Sebagai langkah awal, penubuhan kesatuan Skim F Sabah ialah dianggotai oleh ahli skim F persekutuan yang berkhidmat di Negeri Sabah dari gred pelaksana, iaitu Gred FA40 dan ke bawah.
  3. Manakala penyertaan ahli Skim F gred PNP akan dipohon secara berkumpulan melalui kesatuan untuk pengecualian.
  4. Sebaik sahaja penubuhan dilakukan pindaan peraturan perlu dibuat bagi membolehkan ahli Skim F dari Wilayah Persekutuan Labuan, Badan Berkanun & Entiti berkaitan kerajaan menyertai Kesatuan sebagai Ahli Bersekutu. Slot ahli bersekutu diwujudkan kerana peraturan tidak membenarkan keahlian rentas wilayah serta keahlian pekerja sektor awam dan swasta (termasuk badan berkanun) dalam satu-satu masa.

Soalan Lazim Sewaktu Taklimat

a. Apa beza Kesatuan & Persatuan?

Kesatuan di daftarkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja. Manakala Persatuan didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Kesatuan Sekerja ialah satu entiti yang mempunyai hak berunding dengan perusahaan dan kerajaan, manakala persatuan lebih kepada aktiviti sosial.

b. Adakah Boleh Kesatuan ditubuhkan melangkau Wilayah?

Tidak. Penubuhan kesatuan adalah tertakluk kepada lokaliti dan di mana kesatuan tersebut didaftarkan. Kesatuan sekerja tidak boleh mengambil ahli daripada wilayah yang berbeza, Semenanjung tidak boleh mendaftarkan ahli daripada Sabah atau Sarawak, demikian juga sebaliknya. Kesatuan di Sabah tidak boleh dianggotai oleh ahli dari Sarawak dan Semenanjung. Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262).

c. Bagaimana pula CUEPACS dibolehkan?

CUEPACS ialah “Persekutuan Kesatuan-Kesatuan Sekerja”. Ianya dianggotai oleh kesatuan-kesatuan sekerja sektor awam dan bukannya individu.

d. Adakah Boleh Pekerja Sektor Awam & Swasta digabungkan dalam kesatuan yang sama?

Tidak. Walaupun bagaimanapun pindaan peraturan kesatuan boleh dibuat dengan memperuntukan ahli bersekutu. Ahli Bersekutu memiliki keistimewaan seperti ahli kesatuan yang lain, namun tiada memiliki hak untuk mengundi ataupun menjadi AJK kesatuan.

e. Adakah Wajib Memiliki Pejabat Untuk Pendaftaran Kesatuan?

Tidak wajib. Pendaftaran kesatuan boleh menggunakan alamat majikan untuk pendaftaran kesatuan, bagaimanapun perlulah mendapatkan kebenaran bertulis dari pihak majikan. Sekiranya tiada pejabat, boleh menggunakan alamat premis kediaman setiausaha untuk pendaftaran kesatuan.

f. Bagaimana jika seseorang berpindah tempah bertugas (Wilayah)?

Sekiranya seseorang berpindah tempat bertugas dari satu wilayah ke satu wilayah yang lain, secara automatik keahlian di dalam kesatuan akan terbatal. Sebagaimana contoh ahli Skim F Sabah berpindah dari Sabah ke Semenanjung atau Sarawak makan keahlian di dalam kesatuan akan terbatal secara automatik. Permohonan sebagai ahli bersekutu perlulah melalui proses permohonan.

g. Yuran Keahlian Bulanan atau Tahunan?

Yuran keahli mestilah secara bulanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.