Beberapa hari ini saya cuba mencari maklumat mengenai falsafah stoicisme atau stoik. mendengar podcast dan memahami apa sebenarnya perkara yang berputar di dalam falsafah ini.
Apa yang menarik dengan Stoicisme?

Stoicisme mungkin boleh membantu manusia mencapai kejernihan fikiran, pada saat zaman yang penuh dengan pelbagai kekacauan, FOMO, ketidakpastian dan bermacam masalah lagi yang berada diluar kawalan.
Bukankah Ilmu falsafah itu tertolak?
Bila kita sebut tentang falsafah, biasanya yang muncul difikiran itu ialah ilmu yang berasal dari zaman Yunani Kuno. Kalau di dalam Islam, Falsafah itu juga ada konfliknya yang tersendiri terutama membabitkan tasfiran ayat berkaitan Ketuhanan.
Namun, nyata ilmu falsafah itu melibatkan perkara yang amat luas. Jadi, masih ada ruang untuk kita mengambil hikmah daripadanya. Seperti mana ilmu sains, selagi mana ia tidak membawa kita kepada menafikan kewujudan alam ghaib dan kewujudan Tuhan.
Stoicisme & Islam?
Berbalik kepada Stoicisme, saya melihat apa yang dibicara di dalam podcast stoicisme itu ada sahaja diajarkan di dalam Islam. Cuma mungkin saja kaedah penyampaiannya berbeza.
Sebagai contoh di dalam Stoicisme ada Dikotomi Kendali atau “Dechotomy of Control”.
Sememangnya kita perlu akui di dalam hidup ini ada perkara yang kita boleh kawal, ada juga perkara yang kita tidak boleh kawal. Dalam Stoicisme ini terbahagi kepada 2, iaitu faktor dalaman dan luaran.
Kita mungkin boleh menyampaikan peringatan (dalaman), tapi kuasa untuk memberi hidayah itu ialah milik Allah (luaran). Kita tidak mungkin untuk memaksa manusia tunduk dan patuh sesuai dengan usaha kita. Usaha itu milik kita tapi hasil itu hak Allah yang menguasai segalanya.
Demikian juga dengan takdir, takdir tidak sentiasa memihak pada kita, ada takdir yang boleh diubah. ada takdir yang kita tidak boleh ubah, dan kitalah yang menentukan bagaimana reaksi dan respon kita.
Stoicisme & Rawatan Depresi
Stoicisme juga digunakan untuk merawatkan masalah depresi serta overthinking (berfikir secara berlebihan). Mungkin ada yang skeptik tentang falsafah ini, tapi apa yang saya boleh katakan tidak semua masalah psykologi itu berpunca dari masalah lemah iman.
Setakat ini saya tidak melihat Stoicisme itu meragut keperluan manusia kepada Tuhan, mempelajari Stoicisme tanpa asas kalam Tuhan akan menjadikan ilmu itu lompong sebelah. Ia menjadi amal, tapi tidak soleh.
Apakah saya silap? mungkin saja.. lagipun saya baru saja berkenalan dengannya aliran ini.
Adakah antara anda yang juga sedang berminat dengan ilmu falsafah? Mungkin boleh kongsikan pengalaman atau nasihat anda di komen.
