“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (surah al-Israk : ayat 1)
Sementara menunggu sahur, aku teringat satu peristiwa penting di bulan ogos. Peristiwa yang berlaku pada tanggal 21 hb Ogos 1969. Bertempat di tanah palestin yang tercinta. Pada tarikh inilah maruah umat ini telah tercalar dengan satu penghinaan. Seorang pelampau Yahudi bernama Micheal Denise Rohan telah menyalakan api di dalam Masjid al-Aqsa untuk membakar hangus lalu meruntuhkannya. Kejadian itu dianggap sebagai jenayah musuh yang paling menyakitkan bagi umat Islam. Keperitannya masih dirasakan sehingga ke hari ini. Rohan tidak bersendirian dalam jenayahnya itu. Dia mendapat sokongan dan koordinasi dari Rejim Zionis Israel yang mahu melihat Masjid al-Aqsa dihapuskan bagi memudahkan mereka membina Haikal Sulaiman di atas dataran suci itu.
Dalam peristiwa tersebut, sebahagian besar masjid yang berkah itu mengalami kemusnahan termasuklah peralatan dalaman, dindingnya, Mimbar Salahuddin al-Ayyubi, Mihrab Zakaria, Masjid Umar bin al-Khattab, dan sebahagian serambi. Kemusnahan tersebut melebihi satu pertiga kawasan bangunan masjid iaitu kira-kira 1500 meter persegi daripada keluasan asal 4400 meter persegi. Malah bahagian atap masjid juga roboh menyembah bumi dan begitu juga dua tiang utama serta lengkungan yang menanggung kubah masjid. Tingkap-tingkap yang indah berwarna-warni serta hiasan ayat-ayat al-Quran turut musnah dalam kebakaran tersebut.
Micheal Rohan ketika ditangkap telah berkata secara berterus-terang bahawa apa yang dilakukannya adalah satu kewajipan agama sebagaimana yang disebut dalam kitab Torah di sisi mereka. Dia juga mengaku telah berjaya dalam misinya yang menurutnya adalah merupakan perintah dari tuhan.
rujukan : http://haluanpalestin.haluan.org.my/?p=1921
Maklumat mengenai al-quds boleh diikuti secara secara dekat melalui link berikut :
- http://palestinkini.info – webblog yang menyediakan berita semasa berkaitan al-Quds dengan memetiknya daripada pelbagai sumber luar negara/diterjemahkan.
- http://haluanpalestin.haluan.org.my – portal khas mengenai al-Quds daripada NGO Haluan.