Ketika aku sedang melayari sesawang facebook, menggeledah suasana komuniti dunia cyber aku menemui satu keratan akhbar melalui foto seorang sahabat. Katanya facebook menjadi punca keputusan pelajar teruk. Kenyataan ini menarik hati untuk mengulas tentang teknologi kerana facebook sebahagian dari teknologi, sekaligus ingin mengajak para saudara, sahabat, kawan dan taulan sekalian untuk berfikir.
“Adakah benar teknologi yang bersalah?”
Hal ini mengingatkan aku ketika berdiskusi dengan seseorang imam. Dia mengatakan perkara yang berlaku pada hari ini ialah salah teknologi. Ramai anak-anak muda leka adalah disebabkan teknologi pada masa ini langsung tidak memberikan manfaat. Namun, sebelum kita menyelongkar jauh tentang pandangannya itu lebih baik kita dalami makna teknologi itu sendiri.
DEFINISI TEKNOLOGI
Teknologi memiliki banyak maksud, menurut Wikipedia antara salah satu definisi teknologi ialah pengembangan dan aplikasi dari alat, mesin, material dan proses yang menolong manusia menyelesaikan masalahnya atau secara ringkasnya “Teknologi dibuat atas dasar ilmu pengetahuan dengan tujuan untuk mempermudah pekerjaan manusia”
Teknologi itu untuk kebaikan, itulah hakikatnya. Pada masa yang sama sedar atau tidak, teknologi juga merupakan sebahagian kebijaksanaan, dan apabila kita ungkit tentang kebijaksanaan, Nabi Sallallhu’alaihi Wassalam pernah bersabda :
“Kebijaksanaan itu adalah barang tercicir milik orang beriman, di mana sahaja ia ditemui, maka orang beriman lebih berhak memilikinya”.
Hadis tersebut aku temui di blog abunuha.worpress.com. Pernah juga beliau kiaskan hadis tersebut dengan blog ketika seminar sahabatblogsabah pada tempoh hari. Katanya tiada masalah untuk kita gunakan teknologi. Contohnya seperti blogging ini, ia adalah kebijaksanaan dan sememangnya kita layak menggunakan serta mengeksploitasi media ini untuk kebaikan sejagat.
TEKNOLOGI PERLU KAWALAN
Kemampuan manusia dalam mengawal sesuatu perkara adalah bergantung sejauh mana manusia itu berpegang teguh dengan tali Allah. Adapun kegagalan untuk mengawal teknologi adalah berpunca dari kelemahan manusia itu sendiri. Apabila seseorang itu gagal mengawal teknologi ia akan menyebabkan dirinya dikawal, bukan oleh teknologi tetapi oleh fikiran yang dipengaruhi syaitan.
TEKNOLOGI JADI SASARAN
Malangnya, apabila berlakunya satu kemudaratan dan kerosakan, teknologi menjadi sasaran. Inilah adalah satu sikap di mana manusia itu tidak mengakui kelemahannya sendiri. Aku katakan demikian kerana hal ini berlaku apabila ia gagal untuk mengawal teknologi. Mereka mengatakan teknologi yang salah. Sedangkan pada dasarnya ia sedang melepaskan diri daripada satu kesalahan dengan mencampakkan kesalahan itu kepada faktor yang lain. Pernah aku bertanyakan kepada pensyarah ku dari jabatan hospitaliti mengenai situasi seperti.
“Apa pandangan encik tentang facebook?”
“Facebook? Saya umpama begini. Seorang lelaki diberikan pisau, pisau itu kegunaannya adalah untuk memotong ikan, memotong sayur dan menyediakan bahan masakan bukan?”
“Ya!”
“Sekiranya lelaki tersebut menggunakan pisau itu untuk menikam orang. Siapakah yang bersalah?”
Jawapan kepada soalan itu ada pada kita. Hal ini sama sepertimana teknologi, secara tidak langsung teknologi merupakan satu kurniaan Allah kepada hamba-Nya dan jika dikiaskan kebijaksanaan seperti yang dikatakan oleh abunuha, maka ia satu keperluan kepada kita umat Islam. Jangan meminggirkannya!
TEKNOLOGI SATU KEPERLUAN
Tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa umat ini amat memerlukan teknologi untuk keboleh terusan tamadun agar tidak tenggelam ditelan arus zaman, hanyut dilanda tsunami globalisasi.
Jika kita lihat dalam situasi dunia pada masa ini mereka yang kuat akan menguasai, dan teknologi juga adalah satu kekuatan. Jika umat Islam tidak mahu dikuasai dari segi pemikiran dan pemerintahan, kita tidak boleh meminggirkan pencapaian teknologi sebagai satu kekuatan dengan melabelkan ia satu kemudaratan.
Contohnya dalam dakwah, teknologi adalah satu media utama yang menjadi alat dakwah pada hari ini. Sekiranya para pendakwah hanya berdakwah menggunakan teknik asas sahaja iaitu berceramah dan berkuliah, siapa yang hendak berdakwah dengan para remaja yang lebih gemar duduk di alam maya?
BILA TEKNOLOGI DIBENCI
Membenci teknologi hanyalah membawa satu kemunduran, secara tidak langsung menjadikan umat Islam ketinggalan. Sedangkan krisis bermula daripada diri sendiri. Lebih-lebih pada zaman ini, keadaan umat Islam amat tertekan dan sekiranya kita melihat teknologi sebagai sesuatu ‘dajal’ dan bukannya sebagai saluran untuk menegakkan kalimah Allah Subhana Wa Ta’ala maka pastinya kitalah yang kerugian.
Tatkala musuh Islam semakin membangun bersama teknologi umat Islam dirundung kejumudan fikiran. Hanyut didalam pemikiran yang terlalu ‘tradisional’. Hal ini sama sekali bertentangan dengan nilai Islam, iaitu menggalakkan umatnya mengecapi kemajuan dan menjauhkan diri dari kemunduran!
KESIMPULAN
Sikap membenci teknologi bukanlah satu penyelesaian kepada masalah yang melanda umat ini, sewajibnya umat Islam pada zaman ini mencari satu jalan untuk mengekploitasi atau mentadbir teknologi agar ia dapat membawa manfaat kepada umat Islam dan seluruh alam. Selaras dengan tanggungjawab manusia sebagi khalifah iaitu memakmurkan alam ingin dengan syariat Allah Subhana Wa Ta’ala.
baca juga : Tips Menggunakan Facebook, Twitter, Blogspot, WordPress Dll