Artikel ini dipetik daripada facebook Nadir al-Nuri, satu-satunya pelajar Malaysia yang kini berada di bumi Gaza. Memaparkan wajah Ramadhan kali ini di Gaza, kesan rampasan kuasa oleh golongan Sekular di Mesir. Bagi mereka yang berhajat untuk menyalurkan sumbangan ke bumi Gaza, anda boleh mendapatkan maklumat dipenghujung artikel. mohon disebarkan. sekian, terima kasih.
Saya suka solat taraweeh di Masjid Umari, Gaza ini kerana satu sebab yang utama. Solat didirikan di kawasan dataran lapang, membawa roh saya hanyut seolah-olah sedang berada bersama pejuang-pejuang tegar, para ikhwan di Rabaah Adawiyyah, Kaherah.
Ramadhan ini terlalu basah.
Saya menangis mengingatkan kezaliman dan pembantaian oleh sekular Mesir ke atas Islamiyyiin.
Saya menangis mengenangkan keluh pemandu teksi yang terpaksa mengisi kereta dengan minyak Israel yang berharga dua kali ganda minyak Mesir akibat sekatan, menyebabkan kerap tidak ada hasil untuk dibawa pulang kepada anak dan isteri.
Juga pemandu teksi yang keretanya mati di tengah jalan kerana kehabisan minyak lalu keluar berhempas-pulas menolaknya ke tepi sambil dimarahi pemandu lain.
Saya menangis apabila mendapat terlalu banyak jemputan berbuka – bimbang akan hilang rasa dan siksa sang fakir di balik dinding usang dan atap berlubang, tidak mampu menyuap ke mulut nasi arab dan kebab.
Saya menangis melihat rak-rak di kedai yang makin kosong menandakan Gaza akan sekali lagi mengikat perut jika himpitan berterusan. Rumah-rumah yang sedang dibaiki separuh siap akibat kehabisan bahan binaan. Rakyat yang teraniaya dan ditahan di perbatasan.
Tetapi saya menangis paling teresak, apabila mengingatkan sempadan masuk-keluar yang ditutup, yang akan menggagalkan perancangan saya untuk balik ke Malaysia berputus-urat berhabis-lelah berkempen menerangkan tentang ini semua dan membawa masyarakat celik dan menangis bersama, lalu peduli akan nasib saudara-saudara mereka.
Kegagalan, yang mengorbankan kutipan dana dan sumbangan, lalu mengecewakan 1001 wajah sakit, susah dan memerlukan yang telah saya janjikan dengan senyuman selepas Ramadhan.
Maafkan aku Gaza, Ramadhan ini, aku hanya mampu menangis dan berdoa bersamamu.
Akaun aku kosong sejak 10 tahun lalu membangunkan adik-adik di sekolahku, kemudian di Sabah, Syria dan kini untukmu.
Tetapi Ramadhan ini dengarkan ikrarku, aku rela hidup dan mati susah, bujang dan muflis, demi aku melihat Al-Aqsa dibebaskan di zamanku.
Palestina. Selagi kami punya kudrat dan harta, tangan mampu diangkat dan berisi disuap ke mulut, kami berjanji tidak akan menzalimimu.
Kerana Al-Aqsa, juga milikku.
Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. (At-Taubah, 24)
Nadir Al-Nuri,
Universiti Islam Gaza.
( Segala sumbangan Ramadhan yang akan disasarkan untuk membangunkan tarbiyyah ‘jilul audah – generasi yang akan kembali ke tanah dan kampung halaman mereka di Palestin yang dijajah’ boleh disalurkan melalui akaun Maybank 162263440765 di atas nama koordinator projek, Nadir Al-Nuri dan dimaklumkan melalui emel [email protected]. Projek akan diusahakan melalui NGO From Gaza With Love )
sumber : klik sini