Sekali pandang buku ini, pasti anda akan menyangka buku ini ialah buku yang berkisar ketidakpuasan hati rakyat dan kerasukan pemerintah yang akhirnya mengheret negara ke kancah pertumpahan, rampasan kuasa dan sebagainya. Tetapi sikap menilai buku dari kulitnya itu sekali lagi terbukti silap sekiranya anda mula membaca buku ini.
Ust. Pahrol Mohd Juoi yang terkenal dalam bidang penulisan motivasi menjanjikan suatu kelainan berbanding karya beliau sebelum ini. Kali ini penulis tampil dengan lebih berani untuk menyentuh ruang yang lebih besar dalam masyarakat. Dengan misi ‘memanusiakan’ manusia, Revolusi memaparkan arus yang terpaksa dihadapi oleh pejuang Islam sepanjang zaman. Arus itu sama ada dalam bentuk sistem yang telah lama bertapak kukuh atau individu dominan yang menjadi pendukung sistem tersebut. Cerpen-cerpen dalam antologi ini polos dan telus sahaja sifatnya. Mungkin nilai estetikanya tidak seberapa. Namun sifat terus-terang dan vokalnya itulah yang lebih perlu dicermati dan diamati.
Apabila buta mata hati (kerana meminggirkan agama), manusia akan menjadi lebih hina daripada haiwan. Kerakusannya, bukan sahaja menghancurkan orang lain tetapi turut menghancurkan dirinya sendiri. Ketika itu kebijaksanaan akal akan didominasi oleh kerakusan hawa nafsu. Maka berlakulah keruntuhan spiritual di tengah pembangunan material. Inilah zaman jahiliah kedua yang mengekalkan ciri-ciri dalaman persis jahiliah yang pertama.
Tidak kira setinggi mana ilmu, sebanyak mana harta atau sebesar mana kuasa … tanpa berpegang kepada prinsip Islam yang syumul, umat Islam sendiri akan menjadi hamba kepada fahaman sekular. Inilah fahaman yang ‘diperangi’ oleh cerpen-cerpen dalam antologi ini. Ia memaparkan bagaimana ulama berfikiran sekular rela menjahanamkan agama atas nama agama. Mereka gadaikan prinsip teras dan nilai asas Islam atas alasan toleransi dan bersifat sederhana.
Buku ini juga membuka tembelang umara berfikiran sekular, yang tega merosakkan masyarakat dengan muslihat untuk membela bangsa dan negara. Ironinya, mereka membaham isi, orang lain hanya mengutip sisanya. Manakala si jahil yang sekular pula akan terus jadi Pak Turut yang rela diperkuda oleh umpan hedonisme untuk terus bersuka ria dengan menggadaikan agama.
Antara cerpen yang dimuatkan dalam Antologi ini ialah Singgah Di Darul Taqwa