![iman perlukan ujian iman perlukan ujian](https://www.suhiminain.com/wp-content/uploads/2014/03/20140317_071701_c.jpg)
Cuaca agak berjerebu pagi ini, matahari tidak memancar dengan girang hari ini. Pendingin hawa dan deruman bas menemani perjalanan. Suasana agak lengang, hanya kedengaran bunyi radio berdendang sepanjang jalan. Masing-masing sibuk sendiri. Ditambah jerebu kelihatan seperti kabus pagi, kesejukan yang terasa membuatkan aku terasa seolah-olah di kawasan tanah tinggi.
“Bila la nak hujan ni?”
Musim kemarau melanda. Di merata-rata tempat sudah banyak ikhtiar dilakukan agar tidak memburukkan lagi keadaan. Catuan air dilakukan, orang ramai digalakkan menggunakan air secara berkhemah dan dilarang membuat pembakaran terbuka. Jabatan Bomba melaporkan panggilan kebakaran yang dianggarkan 100 panggilan sehari meningkat kepada 300 dalam masa sehari.
Usaha pembenihan awan dilakukan, tapi ia hanya sementara. Jauh sekali untuk menandingi kemarau yang luar biasa. Nasib baik juga ada jerebu, menjadikan suhu panas tidak begitu tinggi. Catuan bekalan air terpaksa dilakukan, air di dalam empangan sudah mula berkurangan dan diramal hanya mampu bertahan untuk tempoh 3 bulan.
Disebahagian tempat, sudah ada usaha untuk mendirikan solat bagi memohon hujan.
‘Kalau la tidak kerana kemarau, adakah manusia akan melakukan solat untuk memohon hujan?’ Aku berfikir seketika.
“Alhamdulillah, ujian ini telah mengingatkan kita kepada-Nya. Kalau la tidak kerana ujian mungkin kita akan terus lupa lupa fitrah kita untuk bertuhan!” Ini turut menggambarkan betapa ada kuasa di atas kuasa, iaitu Allah Subhana Wa Ta’ala. Manusia hanya maklhluk lemah yang tidak punya apa-apa.
Iman Perlukan Ujian
“kamu pernah lihat orang main squash dipukul?”
“ya!” dia mengangguk.
“Bagaimana permainannya?”
“Pemain akan memukul bola dan akan melantun untuk disambut oleh pihak lawan. Semakin kuat bola itu semakin kuat lantunannya. Kenapa?”
“Begitu jugalah iman, sepatutnya ia berkadar terus dengan ujian. Semakin kita diuji, semakin kuat iman kita. Semakin kita rasa lemah, semakin fitrah kita menyerlah!” Saya cuba memperjelaskan iman dan ujian dalam bentuk analogi mudah.
“Fitrah?”
“Untuk bertuhan atau kembali kepadaNya.”
“Oo..” dia mula mengangguk. “bagaimana pula kita tetap lupa?”
“seperti yang saya katakan tadi, iman berkadar terus dengan ujian. Jika sebaliknya maka….”
“tiada iman?” Cepat-cepat dia menduga jawapan saya.
Saya tersenyum dan diam seketika. Tidak menggeleng, tidak juga mengiyakan. Saya pasti akal sihatnya mampu mencerna analogi tersebut. Selepas menghela nafas dalam-dalam saya pun memberikan ulasan.
“Itulah pentingnya ujian, dengan ujian kita berpeluang menyemak diri kita. Sejauh mana level iman kita. Naik atau sebaliknya. Kalau sedar ia sedang goyah, maka cepatlah kita minta kepada Dia. Semuanya milik Allah termasuk iman kita.”
“dengan kata lain, kalau tidak kerana ujian juga kita tidak akan tahu adakah benar kita beriman?”
“Alhamdulillah.” Saya menyudahkan penerangan saya. Bersyukur kerana dia faham maksud saya dan bersyukur juga di atas ujian yang melanda.