Kepulangan Yang Bermakna…

Kepulangan Yang Bermakna... 1

Alhamdulillah. Membaca penulisan Ust. Hasrizal (Aku Terima Nikahnya) dan Hilal Asyraf (Langit Ilahi) dan Zahirruddin Zabidi (Bukan Susah Nak Faham) membuat aku terinspirasi untuk berkongsikan sesuatu untuk semua. Dengan berkongsi saya juga dapat memberikan peringatan untuk diri sendiri agar menjadi insan yang beriman dan bertaqwa.

26 Okt – 04 Nov lalu, saya berkesempatan untuk pulang ke kampung (Sabah).

“Cuti kawin ka?” usik kawan-kawan.

“Tiadalah. Saja menjenguk orang tua. ” Maklumkan sejauh mana pun kita pergi, pasti orang akan bertanya “kamu asal mana?” dan mengingatkan kita tentang asal kita.

Kapal terbang dijadualkan berlepas pada 12.15 tengah hari dari LCCT ke Terminal 2 Kota kinabalu. Seperti biasa, saya akan sampai 2-3 jam lebih awal daripada waktu yang dijadualkan.

Alhamdulillah, kali ini sedikit berbeza. Ada buku menemani perjalanan, buku Bukan Susah Nak Faham tulisan Zahiruddin Zabidi. Buku yang menghimpunkan cerita-cerita pendek yang menjawap pelbagai persoalan yang adakalanya menggugat persoalan iman. Alhamdulillah, walaupun ditulis dengan bahasa yang santai dan mudah, tapi persoalan yang dimainkan dijawap dengan jelas dan logik.  Saya sengaja memilih buku itu kerana ada non-muslim yang sengaja bertanya soalan menggugat berhubung Islam di facebook. Alhamdulillah, sebahagian persoalan itu terjawap di dalam buku itu.

Sungguh pulang ke kampung kali ini membawa seribu makna kepada saya, kalau sebelum ini ya lah dapat makan udang ketam sotong dan sebagainya. Tapi kali ini lebih bermakna dari itu. Hati saya ini terisi dengan yang lebih bermakna, diringankan hati dan badan untuk mendekatkan diri pada Allah. Kadang-kadang menggenang juga air mata dibuatnya.

Bertemu dengan kawan dan adik dapat bercerita bab agama,merupakan satu anugerah. Peluang untuk mengetuk-ngetuk hati untuk sedar dan tidak pudar dari lapangan dakwah. Diam. Jauh disudut hati saya teringin memiliki hati seperti Umar Abd. Aziz. Dalam ketinggian takhta, matanya tidak malu mengalirkan air mata apabila mendengar luahan seorang anak kecil berkaitan azab neraka.Teringin memiliki hati seperti Umar al-Khattab, walau di dalam ketegasan dan kekerasannya hatinya tunduk dan patuh kepada Allah subhana Wa ta’ala. Luruh hatinya apabila mendengarkan ayat-ayat Allah.

Lebih satu jam aku bersiar-siar di dalam kedai buku Harris di 1 Borneo, mencari sesuatu untuk dibaca. Ke sana ke mari menjadi bahan untuk mengisi jiwa. Tapi yang jelas, ianya berkaitan ilmu rumah tangga? Nikah Kahwin. Petang 2 november, saya menamatkan pencarian buku dengan membeli dua jilid buku di Teratak Sam. Aku Terima Nikahnya, karya Ust. Hasrizal dan juga Langit Ilahi karya Hilal Asyraf. kedua-duanya jilid istimewa versi 3 in 1. kalau disatukan lebih 1000 muka surat juga. Semoga Allah memberikan keringanan dan kemudahan untuk saya membaca habis keduanya.

Ketika berbual-bual dengan mama, saya sengaja melontarkan kata.

“kadang-kadang rasa macam nda mau balik (semenanjung) saja.”

“kalau kamu duduk rumah pun mau buat apa? Bukannya ada apa-apa boleh dibuat, duduk-duduk saja.” Kata-kata biasa seorang ibu mahu menenang hati anaknya. Walaupun jauh di dalam hati terasa waktu berjauhan sehingga adakalanya berkuahkan air mata ketika makan apabila mengingatkan anak-anaknya jauh.

“kalau mau tahan kamu pun, sampai bila? Satu hari nanti kamu juga akan ada hidup sendiri, akan ada keluarga sendiri, akan ada anak-anak sendiri. Kami ni bukan hidup selama-lamanya.”

“mama ni….” Saya cuba menyangkal. Tidak mahu disebut perkara itu. Sudah lebih setahun mama sakit kaki, bahagian lutut. Kalau ikut hospital, sakitnya begini. Ada orang cakap pula sakitnya begini. Tapi tetap digagahinya untuk melayani anak-anak dan suami tercinta. Apapun, harap mama ada peluang untuk sembuh seperti sedia kala.

Bapa pula macam biasa, masih lagi aktif. Kalau ada cuti pun, digunakan masa untuk menyiapkan rumah. Bukan untuk dirinya, tapi untuk kami. Jadi, kalau sudah berkeluarga tiada masalah untuk pulang kampung. Apabila berbual telefon, selalu bapa pesan

“Pakai duit baik-baik (jangan boros).”

Alhamdulillah, walaupun adakalanya sedih bila terpaksa berjauh dengan keluarga namun itu jugalah yang menjadi penguat diri. “kalau kita terpaksa berjauhan di dunia, tidak apa. Yang penting kita semua dipertemukan Allah di dalam syurga-Nya.” Amiin.. semoga itu yang menjadi nyata.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.