Maafkanlah Dirimu

“Ya Allah hukumlah aku, jangan Kau biarkan aku menghukum diri”

Maafkanlah Dirimu 1
Malam ini aku ingin berbicara tentang memaafkan diri sendiri. Adakalanya apabila kita melakukan salah, ada sebahagian daripada kita ini yang akan ‘down’. Sehingga ada di antara bisikan yang menyeru kita memencilkan diri dengan beruzlah… Namun, sedar atau tidak kita sebenarnya telah menghukum diri kita. Lantas kita ini murung setiap kali kita melakukan salah, kerja menjadi tak produktif dan hidup menjadikan kita hampa.
Sikap menghukum diri itu bagus, namun mahu atau tidak kita perlu melupakan sikap itu dari bersarang di dalam hati dan jiwa kita. Hakikatnya itu bukanlah sikap redha, itulah sikap mengeluh akan apa yang ada pada diri kita.
Manusia, ialah makhluk Allah Subhana wa Ta’ala yang paling sempurna dan antara yang tinggi darjatnya. Namun, sempurn adi sisi manusia itu bukanlah bermaksud terpelihara daripada silap dan salah. Kita akur, dalam sempurna kita memiliki sifat lemah iaitu satu sifat wajib bagi hamba.
Kita adalah manusia, kesilapan kita adalah fitrah kita. Kita perlu memberikan peluang kepada diri kita, untuk gembira untuk menikmati segala kurniaan Allah dengan seadanya. Bersyukur walaupun diri kita berada dalam keadaan yang lemah. Walau bagaimanapun kita perlu berusaha memperbaiki diri kita.
Hak untuk diri kita gembira, berikan kepada diri kita. Sayangi diri kita agar kita boleh gembira, dan memancarkan cahaya itu untuk orang disekeliling kita. Kalau bukan kita, siapakah lagi yang hendak menyanyangi diri kita. Tiadalah tempat lagi untuk kita mengadu, jika kita sendiri mencampakkan diri kita.
Menghina diri di hadapan Allah itu adalah adab seorang hamba atas kesilapannya. Malangnya adakah menghina diri dihadapan diri sendiri adalah adab hidup di dunia? Bukankah itu turut menzalimi diri? Lantas kitalah yang mencampakkan diri kita ke lembah kehinaan dan kebinasaan. Allah Subhana Wa Ta’ala sentiasa kasih dan cinta akan hamba-Nya dan memberikan peluang kepada kita.
Jangan kau padam peluang bagi mu! 

Maafkanlah Dirimu 2
Pepatah arab pernah menyebut orang yang tidak memiliki pasti tidak mampu memberi kepada orang di sekitarnya, lantas kita membuatkan orang disekitar kita tak gembira dengan gelagat dan pembawaan kita. Sibuk menilai diri membuatkan kita terjebak ke kancah menghukum diri, lantas mencipta satu lari rentetan kesilapan baru.
Apakah dengan kesedihan itu mampu mengembalikan segalanya?
Manusia itu pelupa disandarkan kepada perkataan ‘insan’ yang berakar pada perkataan ‘an-nas’ di dalam firman Allah Subhana Wa Ta’ala. Maka serahkanlah kepada Allah Subhana Wa Ta’ala. Kirimkan usaha sebagai tanda kita tidak redha dengan kesilapan kita, bukannya ‘kezaliman’ kepada diri kita.
“Oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur” (Surah al-A’araf : Ayat 144)
Untuk memaafkan diri tidak semestinya kita perlu meredhai kesilapan kita. Gunakanlah sebagai peluang untuk kita gagah dan mengambil iktibar daripada segala noda yang pernah terpalit pada wajah dan tubuh kita.
Apa yang dituliskan pada malam ini ialah nukilan untuk diriku, Ya Allah! Engkau permudahkanlah segala urusan Ku, Engkau limpahkanlah rahmat-Mu dan payungilah aku dengan lembayung kasih-Mu. Amin…

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.