#Alhamdulillah. Sekarang sudah masuk bulan terakhir 2013. usiaku sudah menjengah 23 tahun. terasa diri sudah dewasa (sedar diri). walaupun seolah-olah baru semalam berlari-lari keliling kampung. Dalam perjalanan pulang puratanya mengambil masa lebih kurang sejam, sekali sekala teringat akan rumah. kagum! betapa pengorbanan seorang bapa dan mama membesarkan kami adik beradik. Cuma sedikit terkilan kerana bila sudah besar begini terpaksa pula berjauhan dengan keluarga. sedangkan jauh dilubuk hatiku ingin berkongsi pencapaian ini dengan mereka. Betapa banyak perngorbanan yang diberikan tapi tidak dapat aku membalasnya. Maafkan anak mu di perantauan. Huhu… (segan untuk menulisnya? kenapa perlu segan untuk tunjukkan kasih sayang kita pada kedua ibu bapa?)
“Penatlah…” aku menelefon ke rumah. mengeluh dengan pelbagai isu di tempat kerja seolah-olah dirasakan tidak sudah dalam bulan lepas.
“Biasa la ba itu, aku pun kerja begitu juga.” Bapa cuba menyedapkan hatiku. Bapa walaupun tidak disebut sayangnya tapi boleh dilihat daripada tindakannya. Alhamdulillah, bulan ini akhirnya redah sikit tekanan bulan lepas.
Selepas buku Bukan Susah Nak Faham tulisan Zahirrudin Zabidi aku berhasil menghabiskan buku Beduk Diketuk tulisan Ust. Pahrol dan buku Angguk Geleng. Buku yang membawa penyampaian yang santai, tapi sarat dengan makna. Alhamdulillah, puas hati. Pelbagai ibrah yang dapat dicungkil daripada keduanya.
Buku Beduk Diketuk banyak mengajak pembaca kembali kepada persoalan asas di dalam hidup beragama. Seperti hubungan hamba dengan penciptanya dan hubungan manusia sesama makhlukNya. Pesanan di dalamnya agak sarat diikuti dengan ilustrasi nakal yang mengusik. Manakala buku Angguk Geleng pula buku yang pada zahirnya nampak biasa, tapi boleh memberikan impak yang luar biasa. Cerita yang paling mencuri perhatianku ialah Seorang Pemotong Kayu Dengan Sebilah Kapak. Membawa pembaca melihat suatu masalah daripada luar kotak.
Buku “Aku Terima Nikahnya..” pula baru 1/5 habis ku baca. Terfikir juga untuk membeli buku baru, “Man from Mars, Women from Venus:” (Versi Bahasa Melayu) dan buku Why Men Don’t Listen and Women Can’t Read Maps (juga versi Bahasa Melayu). Lebih kurang setengah jam aku membelek kedua-dua buku itu di kedai Buku Rawang, Presint 9. Tetapi akhirnya aku lepaskan kerana memikirkan buku Nota Hati Seorang Lelaki belum lagi aku sudahkan. Aku cuba menahan diri. Teringat pesan Dr. Azizan Osman semasa mengikuti program BERANI2013 di Tabung Haji K.Kinabalu bersama dengan En. Saifudin & Abg Johan & Suhili (kembarku).
“saya mesti habiskan apa yang saya mulakan!” maksudnya jangan berhenti dengan tengah jalan. Cuba untuk mendisiplin diri! Pun begitu sempat juga aku membeli senaskah lagi buku baru “Ingin Menjadi Penulis?” tulisan A. Ubaidillah Alias agar boleh memperkemaskan lagi perkongsian aku dalam laman blog ini.
Dulu selalu orang bertanya dengan aku.
“Kalau kau sakit, adik kau sakit juga ka?”
“Tidak.” Aku menggeleng-geleng tersenyum. walaupun adakalanya perkara itu seakan ada benarnya. Mungkinkah ini tabiat baca buku ini berjangkit daripada adik kembar ku (Suhili)? Dulu aku hairan dengan sikapnya yang suka membeli buku, habis beratus ringgit untuk membeli buku. Sekarang baru aku tahu jawapannya. Walaupun pembacaan kami berbeza, namun ia tetap sama. Dia suka baca/rujuk kitab, aku pula lebih suka dengan penyampaian dalam corak penceritaan. Lihat sahaja buku Tuhan, AKu Kembali, Bukan Susah Nak Faham, Beduk Diketuk dan Angguk Geleng. Kesemuanya berbentuk penceritaan. Adapun buku Penawar Duka Pengubat Sengsara (Dr. Asri) terasa amat payah untuk mengkhatamkannya kerana terasa seolah-olah diceramah.
Aku suka membaca buku bercorak cerita kerana ia membawa aku keluar ke persekitaran lain dari tempat aku berada. Macam Daim dalam Drama Juvana, walaupun jasad terpenjara di sekolah Wira Bakti tapi hatinya bebas ketika membaca buku yang dipinjamkan oleh Cikgu Zakiah.
Kalau dulu aku tidak boleh membaca sambil duduk dalam kereta, pasti pening. Alhamdulillah, sekarang tidak lagi (iklan). Tapi, aku lagi kagum dengan seorang mamat foreigner dalam bas tempoh hati, orang baca buku cerita, komik, nota dalam bas. tapi dia membaca al-Qur’an dalam perjalanan ke tempat kerja. Salute untuk dia! (Kau ada?)