Alhamdulillah. Masih bernafas lagi kita, masih berpeluang untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada Allah dan juga kepada manusia. Dalam usaha untuk mengubah diri menjadi baik dan lebih baik,
1. Manusia perlu kenal keburukan dirinya. Bagaimana untuk mengetahuinya pertama sekali ialah naluri kita sendiri, kerana manusia ini lumrahnya tahu akan kesilapan dirinya. Kedua ialah bertanya kepada kawan rapat kita, Insya’Allah kawan ini akan menunjukkan dimana keburukan dan kelemahan yang perlu diperbaiki dalam diri kita. Dan ketiga ialah kata-kata musuh kita kerana lazimnya musuh ini ialah orang yang suka mencari-cari kelemahan dan keburukan kita.
2. Mulaikan dengan perkara yang kita suka, kalau sekiranya kita suka berjalan contohnya. Lakukannya dengan berjalan ke tempat-tempat yang membawa kebaikan, kalau kita suka bercerita maka lakukannya dengan bercerita perkara yang membawa kita kebaikan. Insya’Allah dengan itu lebih senang untuk memulakan perubahan dalam diri kita.
3. Berkawan dengan orang yang baik-baik. Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.
4. Berdo’a. Minta pada Allah agar kita menjadi insan yang beriman dan bertaqwa. Alhamdulillah, keinginan kita untuk berubah ialah hidayah daripada Allah, maka kepada Allah jugalah kita minta kekuatan dan bimbingan untuk terus dan melakukan kebaikan.
Alhamdulillah, sekadar itu yang saya dapat petik dengan mendengar ikim.fm tempoh hari. Semoga dapat member manfaat untuk kita untuk menjadi insan yang lebih beriman dan bertaqwa.
“hitung-hitung dosa kita kelmarin/semalam, agar kita lebih berusaha beramal di hari ini. Renung-renung nasib kehidupan kita esok hari, agar kita lebih berzikir pada hari ini.”
Kongsi-kongsikan dan selamat beramal untuk rakan-rakan dan wahai diri saya sendiri.. 🙂