Motivasi Dosa(?) – Majalah Solusi Isu 30

Di bawah ni artikel yang dipetik oleh seseorang daripada Majalah isu 30 Solusi dalam ruangan Beduk Diketuk kemudian dikongsikan di facebook, Terima Kasih atas perkongsian, sebab aku dah lama tak beli Majalah Solusi. (ketawa walaupun patutnya sedih)

Situasi yang dikeluhkan dalam artikel ni biasa berlaku di sekolah menengah. Kalau dibawah ni cerita yang dimaksudkan ialah Kem Motivasi, tapi sebenarnya bukan itu sahaja. Aktiviti-aktiviti unit Beruniform biasa berlaku perkara ni, perkhemahan, piknik dan sebagainya…. akhirnya bukan mengisi masa dengan perkara berfaedah tetapi mendidik masyarakat yang ‘bebas merdeka‘.

Motivasi Dosa(?) - Majalah Solusi Isu 30 1

“Saya tidak akan hantar lagi anak remaja perempuan saya ke kem motivasi,” luah seorang ayah kepada saya.
“Mengapa tuan?”
“Itu semua motivasi dosa.”
“Ya. Saya menyesal sungguh kerana membenarkan dia menyertai kem motivasi itu.”
Daripada kerut wajahnya saya dapat merasai kekecewaan dan penyesalannya. Saya sendiri memang mengenalinya dan anak yang dimaksudkannya itu. Mereka tinggal berhampiran dengan rumah saya. Mereka memang keluarga yang iltizam dengan Islam.
“Apa jadi pada anak tuan?”
“Tidak ada apa-apa. Tetapi mendengar laporannya saya menjadi marah.”
“Kenapa?”
“Jurulatihnya orang Islam, fasilitatornya juga orang Islam dan pesertanya juga orang Islam tetapi cara mereka melatih benar-benar tidak islamik.”
“Mereka tak menghormati waktu solat?”
“Itu salah satunya. Bagi mereka solat adalah soal peribadi. Tidak termasuk dalam program latihan. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak menghormati waktu solat. Waktu solat dah masuk, tapi mereka masih mengarah peserta membuat pelbagai aktiviti.”
Saya berfikir dalam diam. Saya sendiri pernah melihat bagaimana para remaja masih terkial-kial di dalam sungai dan kolam padahal waktu maghrib sudah lama masuk.
Terserempak dengan mereka sewaktu mereka pulang (saya dalam perjalanan ke surau di resort yang sama), saya bertanya kepada seorang remaja lelaki yang basah kuyup: “Ini kursus apa?”
Dia menjawab: “Ini kursus kepimpinan untuk menyelesaikan masalah sosial remaja.”
Saya hairan, mampukah kursus semacam itu menyelesaikan masalah sosial? Saya sedih melihat remaja-remaja perempuan dengan baju basah menonjolkan lekuk-lekuk tubuh turut pulang dengan hilai ketawa.
Tiada Rasa Malu
Mata saya merenung bapa resah di hadapan saya. Saya bertanya lagi: “Apa lagi cerita anak tuan?”
“Mereka diarahkan bersampan lelaki dan perempuan. Setiap prang perlu terjun ke kolam dan diselamatkan.”
“Pakai jaket keselamatan?”

“Bukan itu yang saya risaukan tetapi pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan. Anak saya bertudung labuh…dia rimas dengan aktiviti-aktiviti macam tu. Tetapi ada kawan-kawannya yang lain telah terpengaruh dan ikut sama dalam adegan berpegang-pegang, rangkul-merangkul dalam air itu. Kononnya untuk memantapkan keyakinan sesama regu kerja.”
Saya diam. Teringat cerita seorang suri rumah yang cerai dengan suaminya angkara hubungan terlarang yang berputik lewat program motivasi seperti itu. Saya masih ingat bagaimana deraian airmata seorang suami yang mengadu:
“Bang, isteri saya jadi liar sejak pulang daripada program motivasi yang dianjurkan oleh pejabatnya.”
“Kenapa pula boleh jadi macam tu?”
“Abang pun tahu apabila ada program naik bukit, seberang sungai dan berjalan malam dalam hutan…”
“Saya rasa program macam tu tak salah,” balas saya untuk lebih adil.
“Memang tak salah. Tetapi orang yang mengendalikannya mestilah berjiwa Islam dan berpegang kukuh dengan syariat. Dia mesti mengawal agar tidak berlaku sentuh-menyentuh, berpegangan dan seumpamanya semasa aktiviti itu dilaksanakan.”
“Jika kita pandai jaga diri, insya-Allah. Setiap orang mesti mengawal diri.”
“Bukan semua bang. Di pejabat, di universiti atau kolej masih ada rasa malu-malu antara staf lelaki dan wanita ataupun antara siswa dan siswi, tetapi dalam program yang sebegitu, rasa malu itu dicairkan dan dirobek-robek atas nama keberanian, ketabahan dan kerjasama.”
“Tetapi syaitan ada dimana-mana. Api dan minyak apabila didekatkan pasti terbakar!”
Berbaur Mukadimah Zina
Kembali kepada perbualan saya dengan jiran saya tadi.
“Anak saya memang telah dididik dengan nilai-nilai Islam. Tetapi program tersebut memang mencabar nilai-nilai Islam.
“Nilai akhlak dan syariat, barangkali?” Saya cuba menjelaskan.
“Ya. Apabila memanjat bukit, lelaki perlu menarik tangan wanita atau menolak bahagian belakang badannya untuk sama-sama mendaki. Apabila sama-sama berendam di dalam air dan dalam keadaan rapat-rapat pula, macam-macam boleh terjadi. Setidak-tidaknya perbuatan itu sudah dikategorikan sebagai menghampiri zina.”
Sebagai seorang yang memang terlibat dalam bidang yang sama dan sering berada di resort, hotel atau mana-mana lokasi tempat program latihan dijalankan, saya pernah menyaksikan bagaimana seorang wanita naik ke satu tempat yang agak tinggi, ditutup matanya dan diminta menjatuhkan dirinya untuk disambut oleh rakan kumpulannya di bawah. Bayangkan jika isteri, anak atau adik perempuan kita diperlakukan begitu. Apakah kita tidak marah? Jika kita tidak marah, di mana sensitiviti kita sebagai seorang lelaki Muslim?
Sebuah hadis yang menceritakan tentang pelbagai jenis zina menerjah dalam ingatan, Betapa semua jenis zina, mata, telinga, tangan, kaki, fikiran dan hati ada dalam program “motivasi dosa” itu. Malangnya program seperti itu dianggap baik oleh ramai pihak.
 Matlamat tidak menghalalkan cara
“Awak jangan ekstrim sangat. Itu tidak ada kaitan dengan rangsangan nafsu seks. Itu latihan. Tolong bersikap profesional.” Saya masih ingat kata-kata itulah yang pernah saya dengar daripada seorang “master trainer”
“Saya tidak tahu apa makna profesional mengikut tafsiran awak. Tetapi bagi saya, jika ada elemen-elemen haran dan kemungkaran dalam program latihan kita, itu tidak profesional.”
“Matlamat kita baik,” pintasnya.
“Matlamat tidak menghalalkan cara,” tambah saya.
“Kenapa begitu anggapan awak? Awak agak prejudis.”
“Tidak. Jika awak abaikan dan remehkan persoalan solat dalam program, jelas itu tidak betul.”
“Kenapa? Solat soal peribadi. Ia tiada kaitan dengan program kami.”
“Kita orang Islam. Solat berkaitan dengan kita dalam apa jua tindakan kita.”
Dia memandang ketempat lain. Jelas dia tidak bersetuju dengan apa yang akan saya katakan.
“Apa matlamat program latihan awak?”
“Kami diamanahkan untuk membina ketahanan dan jati diri remaja agar tidak terjebak dalam gejala sosial.”
“Jadi sesuai sangatlah solat dengan matlamat program awak tu. Bukankah Allah telah menegaskan dalam Al-Quran bahawa solat mampu mencegah kejahatan dan kemungkaran?”
“Payahlah bercakap dengan golongan macam awak…sikit-sikit kaitkan dengan Tuhan. Kita ada rasional yang sesuai dengan realiti semasa. Modul latihan ini telah dikaji, dijalankan dan diperkukuhkan dengan pelbagai input. Semua dari segi IQ, EQ, PQ, SQ dan lain-lain kecerdasan. Ini hasil kajian, bukan andaian.”
Bebas Jangan Terbabas
Saya tersenyum. Elemen mungkar dalam sesetengah program latihan masa kini samalah seperti perbuatan membasuh najis dengan ari najis. Mereka ingin menghapuskan zina, tetapi aktiviti-aktiviti menghampiri zina sudah ada dalam latihan segmen mereka. Begitu juga dengan gejala sosial yang lain.Akibatnya masalah asal tidak selesai, masalah baru pula yang timbul. Itu belum dikira lagi ceramah-ceramah yang berbaur lucah dan kotor. Kononya untuk m enghilangkan tekanan para peserta.
“Ceramah tak ada langsung unsur perkauman. Saya cukup menjaga sensiviti kaum-kaum.” Begitulah yang pernah saya dengar penegasan daripada seorang kenalan. Namun saya sendiri pernah menghadiri ceramahnya. Masya-Allah, penuh dengan gurauan lucah dan usikan yang mendorong ke arah pergaulan bebas. Sepatutnya dia bukan sahaja sensitif tentang nilai-nilai bangsa tetapi paling utama ialah nilai-nilai agama.
Saya bersetuju dengan jiran saya bahawa ada program motivasi (tidak semua) boleh merosakkan lagi minda dan jiwa para peserta tidak kira remaja atau mereka yang telah bekerja. Walaupun begitu, ini tidaklah bermaksud bahawa program latihan hanya perlu ditunjangi oleh aktiviti-aktiviti zikir, qiamullail dan muhasabah diri secara jumud dan stereotaip.
Kekadang saya sendiri terkesima memikirkan betapa ramai antara kita yang inginkan kebaikan tetapi menolak kebenaran. Menolak kejahatan tetapi merangkul kebatilan itulah penjana segala kejahatan. Islam itu dinamik, kreatif dengan pelbagai pendekatan. Panjatlah gunung, berenanglah di sungai, redahlah belantara, namun akidah, syariat dan akhlak wajib dijaga. Bebas tetapi jangan terbabas!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.