Belajar Dari Petani

cerpen belajar dari petani
credit photo to : Gin n Juice

Oleh : Suhimi Bin Nain

Setelah seminggu disibukkan dengan tugas itu ini, hari ini kami mengambil keputusan untuk duduk di rumah merehatkan diri. Selepas menyiapkan sarapan pagi, Isteri duduk di meja makan. Perkembangan yang buah mulut orang waktu ketika ini sehingga muka depan akhbar dan berita tv ialah tentang keputusan SPM yang diumumkan semalam. Pelbagai reaksi yang boleh dilihat dari riak wajah ibu bapa dan pelajar, ada yang gembira ada yang kecewa. Namun, paling menarik muncul di daerah ini.

“Tak siapa yang sangka, pelajar yang terbaik di sekolah kita ialah anak seorang penoreh getah…” Isteriku kagum melihat prestasi pelajar terbaik di tempat kami mengajar. Walaupun dari keluarga yang kerjanya kais pagi makan pagi kais petang makan petang tapi keputusan peperiksaannya lulus dengan cemerlang.

Aku yang berdiri di muka pintu sambil memerhatikan pokok-pokok bunga di halaman rumah memulakan bicara.

“Belajar la dari petani.”

“Belajar dari petani?” Dia menoleh.

“Ya.” Seraya aku duduk di sebelahannya. “Kalau petani menyemai tumbuhan, ibu bapa menyemai kehidupan!” Aku menghirup air yang telah terhidang di atas meja.

“Jadi ini peranan ibu bapa la ya?” Dia tersenyum.

“Ya.”

Sekali-sekala beginilah cara kami melayan meja kopi.

“Cuba cerita macam mana petani tanam pokok bunga.” Aku menjolok minatnya.

“Biasanya anak-anak pokok bunga diletakkan di tempat redup, diberikan baja, dilindungi dari makhluk perosak dan paling penting disiram air setiap hari. Barulah pokok itu tumbuh subur dan sedia untuk diletakan di bawah matahari.”

“Kalau begitulah peranan dalam menjaga tumbuhan, apatah lagi untuk membentuk insan!” Aku menyuap kuih pisang yang masih panas. “Anak-anak yang lahir di dunia ini turut perlukan asuhan, perlindungan, kasih sayang dan perhatian.”

Lama dia berfikir, mungkin teringat anak pertama yang bakal lahir nanti.

“Itu bagus, tapi jangan lihat kejayaan itu dalam aspek material sahaja.”

Lontaran itu mengingatkan aku tentang sikap ibu bapa yang bersungguh-sungguh untuk menghantar anak mereka pergi ke tuisyen, sanggup membelikan buku itu ini dan sanggup berbelanja besar untuk memastikan anak itu lulus dalam peperiksaan. Ironinya bersikap acuh tak acuh dalam mempersiapkan anak dengan ilmu agama. Ada yang anak belum lahir sudah sibuk dengan pelbagai perancangan, malangnya perancangan itu hanya terhad pada pasca kelahiran, jauh sekali dari pasca kematian.

Tidak hairanlah juga ada murid yang bunuh diri kerana gagal dalam peperiksaan, kerana kehidupan ini dilihat hanya dari aspek keduniaan. Bila gagal di dunia, seakan gagal selama-lamanya. Sedangkan dunia ini hanya sementara, akhirat juga yang kekal selama-lamanya.

Dipetik dari Surah At-Tahrim Allah berfirman (yang bermaksud) :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim : ayat 6)

“Jika baja terbaik bagi tumbuhan ialah baja organik, maka asas terbaik bagi insan ialah ajaran Tuhan. Barulah sifat-sifat fitrah di dalam dada subur menjadi sifat mahmudah.Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a (yang bermaksud) Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong? (Nombor hadith di dalam Sahih Muslim : 4803)

“Mungkin ilmu boleh diswastakan…”

“Tapi itu bukan alasan untuk kita lepas tangan.” Sambungku sambil terus menjamah kuih pisang.”Terutama bab perasaan.”

Kami bertentang mata. Harap-harap perbualan ini bukan sekadar perbualan tetapi kesedaran yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan agar anak yang lahir nanti bukan sahaja berbakti semasa insan tetapi turut mengjaga hubungannya dengan ar-Rahman.

“Orang dulu, belajar tak tinggi mana. Tapi berjaya untuk didik anak-anak jadi orang berguna. Kenapa?” Dia mengisi cawanku sekali lagi dengan kopi.

“Sebab mereka mempersiapkan anak-anak dari rumah!”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.