Sudah Terhantuk Baru Terngadah?

Sudah Terhantuk Baru Terngadah? 1“Nampaknya kita belum cukup terhantuk!” Dengusnya sambil meletakkan surat khabar di atas dashboard kereta. Aku yang sedang memandu terpancing untuk ambil tahu.

“Kenapa?”

“Ya lah, situasi macam begini pun masih belum terngadah!” Dia menunjukkan surat khabar itu kepadaku, mukanya merah. Ia berkisarkan kes tragis di ibu kota. Lima orang remaja meninggalkan dunia dalam konsert liar yang dianjurkan atas nama tahun melawat negara. Dipercayai berpunca daripada overdose kerana menyambil dadah.

“Jadi? Apa masalah?”

“Kita suka pandang sebelah mata!”

“Sebelah mata apa pula. Pihak berwajib kan dah usaha dengan mengambil insiatif bagi mengelakkan perkara ini terjadi ini. Dikuatkuasakan undang-undang untuk gantung sampai mati untuk kes dadah!” Aku terus memulas stering kereta.

“Ya, itu bagus. Tapi itu lebih kepada menangani masalah yang sudah berlaku!”

Lama aku diam, tidak dapat fokus dengan jawapan yang dilontarkannya.

“Masalah yang berlaku?”

“Sudah berlaku dan belum berlaku itu berbeza!”

“Mana-mana sajalah, yang aku tahu pihak berwajib dah buat sebaik mereka.” Aku menggeleng-geleng kepala. Dia memang selalu begini, ada sahaja yang tidak kena.

“Kamu pernah lihat rumput?” Soalnya secara tiba-tiba.

“Mestilah!” Jawapku dengan nada marah.

“Kalau kita cantas daunnya dan bakar, apa yang akan jadi?”

“Ia akan tetap tumbuh semula…” Saja aku biarkan karenahnya. Kalau tidak pasti panjang lagi ceritanya.

“Kenapa?”

“Sebab akarnya masih bernyawa la!” Aku mula rimas. Ini semua soalan sekolah rendah. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula! Pendingin hawa seakan tidak berfungsi. Deretan kereta sudah mula memenuhi jalan raya. Lampu isyarat bertukar warna merah.

“Tengok… secara fitrahnya kamu juga tahu keadaannya.” Dia tersenyum kambing. “Begitu jugalah kalau kita hendak selesaikan masalah. Kalau betul hendak menghentikan sesuatu masalah, kita perlu hapuskan puncanya. Kalau tidak samalah seperti rumput, walaupun dipotong dan dibakar berkali-kali, ia akan tumbuh lagi sebab akarnya masih subur dan mencengkam bumi.”

“Apa kaitannya dengan ini?”

“Walaupun kita sudah mengambil pelbagai tindakan seperti menguatkuasakan undang-undang dan sebagainya. Itu belum cukup. Tutup semua pintu-pintu yang menjuruskan kepada permasalahan sedia ada. Konsert seperti ini tidak sepatutnya dibenarkan di negara kita. Takkan setiap kali kena mahu terhantuk baru hendak terngadah?!”  Dia pula marah.

“kan ada jugadianjurkan konsert selawat dan program keagamaan!” Cantas saya.

“Owh! Buat dosa, lepas tu buat pahala. Baru adil ya?”

Terkedu aku mendengar sindiran itu. Kritikannya cukup pedas walau bersahaja.

Bila kita pergi ke hospital, doktor sering bertanya.

“kamu sakit apa?” Iaitu untuk tahu sakit kita dan mencari cara yang sesuatu untuk mengubatinya.

Kemudian disusuli dengan soalan seterusnya.

“Macam mana boleh jadi macam ni?” Iaitu untuk mengetahui punca sebenarnya sakit kita. Jika doktor dapat tahu punca, pasti doktor akan menasihatkan kita agar berhenti atau menghindari perkara tersebut. Kalau tidak samalah seperti orang makan ubat dan racun pada masa yang sama.

“Mencegah lebih baik daripada mengubati!” Tambahnya lagi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.