“Macam mana nak bagi umat ni sedar ya? Rakyat Gaza sedang menderita, kita sini sibuk berpesta, berhibur sampai tak ingat dunia. Saudara-saudara ramai yang tidak cukup makan minum, pakaian tempat tinggal dan macam-macam lagi.”
Dari tadi aku mendengar dia mengomel sendirian. Hampir semalaman dia tidak dapat melelapkan mata selepas menonton video-video kekejaman zionis dari laman Youtube,terutama pembantaian terhadap penduduk Palestin di Gaza. Sejak dari semalam itu sahaja yang bermain difikirannya. Riak wajahnya serius, berfikir dengan tekun mencari idea-idea untuk menyalurkan kemarahannya.
“Aku tahu!” dia bergegas mendapatkan komputer riba di atas meja belajar. Kelihatan semangatnya berkobar-kobar, ligat jari-jemarinya berlari di atas papan kekunci. Pandangannya langsung tidak berganjak sehingga mencuri perhatian ku untuk bertanya.
“Apa dia?”
“Aku akan buat satu mesej yang menunjukkan perkembangan terbaru di Gaza, bagaimana Israel meratahkan rumah, membunuh jiwa-jiwa yang tidak berdosa.”
“Macam mana kamu mau dapat berita?” Aku hairan.
“Alaaa… Tulis saja apa-apa, buat la macam-macam cerita sensasi. Barulah orang tertarik untuk membaca, lepas itu minta buat sebaran untuk berdoa bersama-sama.” Dia tersenyum sinis. Bibir kanan lebih tinggi dari sebelah kiri sambil matanya terus fokus pada skrin komputer.
‘Astaghfirullahal’azim…’ Bisik hati kecil ku. “Niat itu betul. Tapi caranya salah!” Aku menjawap dengan selamba.
“Adil apa? Inilah balasan terhadap kekejaman mereka. Biar Israel tahu kita boleh bersatu dan bangkit menentang mereka! Lagipun orang kita kan suka cerita-cerita sensasi dan kontroversi ni! Kalau tiada elemen-elemen macam ni orang kita takkan baca.”
Ada benarnya juga yang disimpulkannya sejak akhir-akhir ini pun banyak berlaku peristiwa yang sama, kalau tidak kerana sensasi orang kita tidakkan peduli. Berapa ramai yang bangkit untuk memperjuangkan kalimah Allah, tetapi syariat Allah untuk dipandang sebelah mata kerana tiada nilai sensasinya?
“Matlamat tidak menghalalkan cara…” Aku menyapu muka sambil Istighfar. Cuba menahan rasa marah. Suasana mulai tegang. Jelingan matanya menyorot, isyarat tidak setuju dengan jawapan itu. Hampir setengah jam kami meneruskan perang fikiran.
“Kau ni, orang nak berjuang Islam pun salah!” Dia mulai penat.
“Berjuang Islam dengan menggadaikan prinsip Islam?”
“Prinsip apa?!”
“Adil, amanah dan bercakap benar dalam menyampaikan fakta! itu bukan seruan Islam ka?”
Bila dia mula seoalah-olah buat tidak endah dan memalingkan muka, sekali lagi aku menambah.
“Islam itu bukan hanya solat, puasa, zakat dan sebagainya. Tapi juga budaya ilmu dan amanah, seperti bercakap benar, adil, berakhlak mulia dan sebagainya! Kita tidak boleh memperjuangkan islam dengan menggadaikan ini semua!”
“Habis, bagaimana caranya lagi?” Suaranya bertukar sebak. “Aku cuma mau membantu. ” Pipinya mulai basah. Rupa-rupanya dia menangis. Tidak sangka disebalik kekerasan perilakunya ada hati yang lembut dan perihatin terhadap saudara-saudara seagama. Aku pula yang mulai segan. Tidak dinafikan niatnya murni, tapi caranya salah. Pun begitu itu bukan lesen untuk aku mematikan niat murninya. Dia cuma perlukan bimbingan. Amat rugi kalau kesedaran yang sedikit itu terpadam begitu sahaja. Ia mesti disemai agar terus tumbuh dalam dirinya. Aku meletakkan buku dan pelahan-lahan memegang bahunya.
“Kembali kepada asas agama, iaitu Ilmu, seperti al-Qur’an,sejarah, fakta dan hujah-hujah yang benar berkaitannya. Dari situ kesedaran itu bukan hanya hinggap di emosi, tetapi juga akan berakar di dalam hati.”
“Lambat…” Air matanya terus mengalir deras.
“Tapi berkesan!” Tujuan perjuangan bukan la semata-mata untuk mencapai kemenangan, tetapi untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ianya bukan soal apa yang telah berjaya kita lakukan, tetapi apa yang telah kita usahakan. Kita bukan pemula bukan juga pengakhiran, tetapi hanyalah penyambung mata rantai perjuangan.
Jom like facebook ni —> From Gaza With Love