“ASSALAMU’ALAIKUM!!” Aku berdiri di dalam bas, mencuri perhatian rombongan kelas ku. Waktu itu waktu kira-kira jam 5.30 ptg dan kami sudah bertolak kira-kira sejam dari pekan Ranau. “Beginilah! Tadi kita minta do’a dengan Allah, minta perjalanan kita diberkati. Tapi, beginikah balasan dia. Seolah-olah kita mempermainkan Allah.” Aku meninggikan suara ku kerana sudah tidak tahan dengan rakan-rakan yang berbuat bising sepanjang kami bertolak dari Politeknik. “Jadi, harap fahamlah, perjalanan kita jauh, bahaya kalau kita bising-bising! Pemandu pun tidak tenang memandu.”Tambah ku lagi. Aku sudah tidak peduli, membiarkan kawanku sakit hati.
Selepas itu, aku duduk semula. Keadaan bas waktu itu gelap sedikit dan hujan mulai menemani perjalanan kami. Dan ketika singgah untuk berehat di pertengan perjalanan, aku sedar bahawa ada kawan yang rasanya ingin sahaja membelasah ku. Namun, aku tidak peduli.
“Inilah jalan dakwah.” Bisik hatiku. “Pasti ada orang yang tidak suka dengan perbuatan kita.” Namun, adakah ini makna sebenar tarbiyyah??
Sehari, selepas tiba di Sandakan. Lawatan kami di Stesen Janakuasa Libaran pun berlangsung, waktu itu kira-kira jam 11 pg. Dan aku sedang menikmati jamuan ringan yang disediakan oleh tuan rumah.
Tiba-tiba, Azrul datang.
“Assalamu’alaikum..”
“Wa’alaikumussalam..” Jawap ku, dan terbukalah ruang bicara.
“Wei, ko ni kan… Nda patut ba kau buat macam tu kelmarin.” Kawanku itu menunjukkan ketidak puasannya tentang tindakan ku menegur perbuatan sebilangan ahli rombongan.
“Kenapa pula.’ Balas ku dengan dingin.
“Ko tahu ka, ramai orang nda suka ko buat begitu. Dorang panas dengan ko taw!”
Oleh itu, kehangatan hati ku pun timbul.
“Aku taw.” Aku menghirup minuman ku. “Tapi, aku nda kesah sudah Azrul, Nabi pernah berpesan “Berkatalah benar walaupun ia pahit”.” Tambah ku.
“Ya lah, tapi kau kena ingat Timie. Bukan begitu ba caranya kalau mau berdakwah.” Azrul mengukuhkan hujahnya. Dan sememangnya profil ku sebagai ‘pendakwah’ yang memasang ‘gear 5’ dalam isu-isu Islam ini timbul di dalam kelas jurusan komputer itu.
“Memang sudah aku agak, tapi itulah dakwah! Bukannya jalan yang dihamparkan dengan ‘karpet merah’. Aku akan dibenci, sedangkan Nabi dulu pun berdakwah sampai dihumban batu lagi oleh penduduk taif!!” Aku semakin hot dan perdebatan semakin hangat.
“Bukan itu maksud aku, Timie. Cara ko tu salah ba! Cuba ko pikir, besi dengan besi kena kasi lagah mesti ada yang bengkok. Begitulah juga cara ko, ko nda boleh keras dengan dorang. Ko taw juga dorang macam mana kan? Ko kena pelan-pelan…Teguran gitu. Bukannya dorang terima! Yalah, aku taw ba aku pun bukannya lurus sangat. Tapi, aku taw juga bah!”
“Itulah terpulanglah dengan dorang, mau terima atau tidak. Aku cuma menyampaikan. Allah yang bagi hidayah!”
“Ko ni kan… Tu penting diri namanya. Ko kena fikir, dakwah tu ko terima atau dorang.”
“Memang sudah cara aku begitu. Aku keras, macam mana juga? Sudah memang cara aku. Sedangkan Saidina Umar pun keras! Nda boleh diubah sudah. Lagipun, apa aku mau cakap, sudah aku cakap.”
“Jadi, betullah ko penting diri. Ko kasi puas hati ko ja, tapi ko nda pikir ‘orang yang di dakwah’ (mad’u la maksudnya) tu boleh terima atau tidak.”
Lebih kurang begitulah peristiwa yang berlaku pada Semester lepas semasa lawatan ke Sandakan. Macam mana? Adakah kah anda menyebelahi Azrul atau aku? Hehe… Di sini aku ingin bawa kembali pengalaman ini untuk tatapan para sahabat perjuangan yang sedia menggelarkan diri sebagai da’ie. Sebenarnya adalah benar kata Azrul, walaupun dia tidak sedia untuk menggelarkan dirinya sebagai da’ie namun dia lebih mengetahui. Jadi, janganlah sebab seseoran tu bukan satu ‘wilayah’ dengan kita kita tidak menerima pendapatnya.
Memang pada mulanya, aku pun sukar untuk menerima kenyataan dari Azrul. Namun, akhirnya aku terpaksa mengalah. Kenapa?? Di sini aku hendak bertanyakan kepada sahabat seperjuangan. Apakah benar yang dimaksudkan dengan jalan dakwah yang penuh duri itu ialah dibenci orang atau bersabar dalam penyempurnaan teknik dakwah itu sendiri? Dan adakah ‘tarbiyyah’ tu mesti keras??? Dan sekarang ni aku sedang tertarik dengan satu ‘modul’ tulisan Abbas As-Sisi, yang berjudul ‘At-Tariq Ilal Qulub’ iaitu ‘Bagaimana Menyentuh Hati’ (softskill yang mesti dimiliki oleh seorang insa bergelar ‘da’ie’.
Ohya! Sentuh pasal cara Saidina Umar yang ‘tegas’. Aku dah faham… Dan cara tu bukan tidak sesuai di zaman ni. Tapi, perlukan ‘persiapan’ rapi agar kita dalam menguasai pembolehubah dan keadaan sekeliling. Lebih-lebih lagi di bumi Sabah ini.