06 SEPTEMBER 2010 : Rancangan Sudut Pandang 501, Astro Awani dibawa kendali Kamarul Bahrin Haron telah membincangkan satu isu serantau yang berkaitan dengan konflik Malaysia-Indonesia bersama tamu Naib Canselor UUM, Prof Dr Mustafa Ishak dan di talian bersama Lili Yulyadi Arnakim, Pensyarah Pelawat, Jabatan Pengajian Asia Tenggara, UM. Di mana tajuk yang dibawakan pada sesi kali ini adalah Serumpun : Ala Bisa Tegal Biasa.
Sesi pada kali telah membincangkan punca yang berlakunya konflik Malaysia-Indonesia. Memetik kenyataan dari Lili Yulyadi Arnakim bahawa sikap serumpun sebenarnya telah terhakis di mana masyarakat yang lahir pada selepas era 70-an sudah memiliki perspektif yang berbeza di antara dua negara, hampir semuanya dicambahkan dengan faham nasionalisma. Berbanding sebelum 70-an masyarakatnya lebih kaya dengan persaudaraan dan sikap serumpun di bawah nusantara.
Tidak dinafikan mata pelajaran sejarah pada hari ini turut menyumbang kepada terhakisnya sikap serumpun di antara kedua negara ini. Hal ini kerana mata pelajaran sejarah lebih kepada bersifat nasionalisma yang meminggirkan sikap serumpun secara tidak langsung.
Manakala Menurut Prof Dr Mustafa Ishak ada kemungkinan bahawa isu nasioanalisma ini telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu bagi mengukuh pengaruh politik sesetengah pihak bagi meraih kepercayaan sama ada di dalam ataupun luar negara. Di samping wujudnya kemungkinan bahawa konflik yang tercetus pada hari ini didorong oleh persaingan antara kedua-dua negara sama ada dalam aspek ekonomi dan sebagainya. Oleh itu beliau berkata Malaysia & Indonesia perlu memiliki engagement bagi menjaga kehormanian di antara dua negara yang kini sedang diusahakan.
Jika kita melihat kembali kepada fakta sejarah semangat antara Malaysia-Indonesia sememangnya amat kukuh. Sehingga pernah wujudnya usaha untuk mewujudkan Indonesia Raya yang menggabungkan Malaysia dan Indonesia.
Dari aspek lain pula kita perlu menerima hakikat bahawa inilah kesan kepada prinsip negara bangsa atau nasionalisma yang diperkenalkan barat, akhirnya umat Islam yang memiliki rumpun yang sama pun boleh bertelagah walaupun satu akidah. Hal ini bukan sahaja berlaku di nusantara, bahkan turut berlaku di Timur Tengah di mana wilayah-wilayah di Timur Tengah telah dipecahkan dengan prinsip negara bangsa, sehinggakan Yahudi yang minoriti pun tidak dapat diganyang oleh umat Islam di Timur tengah yang berlipat kali ganda bilangannya.
Walau bagaimanapun penulis memuji sikap kedua negara ini yang mengambil inisiatif untuk menjernihkan kembali perkara ini sekaligus membentuk kejiranan nusantara yang penuh harmoni dan kaya dengan sikap persaudaraan.