Sejak minggu lepas, TM telah mewar-warkan pelan internet mereka yang terbaru. Iaitu pelan TURBO. Menariknya pada kali, pelan ini bukan sahaja untuk pengguna baru. Bahkan untuk pengguna sedia ada TM. Dua pelan TURBO yang ditawarkan oleh TM ialah Unifi Pro RM129 dan pelan unifi basic RM79. Kedua harga tidak termasuk SST.
Setahun saya melanggan unifi.
Sebelum saya mengulas lanjut mengenai pelan ini, ingin saya jelaskan… saya merupakan pengguna Unifi sejak tahun lepas. Sewaktu saya menulis artikel ini, genap setahun saya melanggan servis TM. Dengan kata lain, saya ada setahun lagi kontrak dengan TM.
Berapa yang saya perlu bayar?
Saya mendaftar unifi pada tahun lepas pada harga promosi, iaitu Unifi Lite RM129. Tanpa box, tanpa free call. Kelajuan ialah 10mbps. Bagi saya ini merupakan harga yang berpatutan. Sebab harga biasa pada waktu itu RM179 untuk 10mbps.
Namun, tidak sampai setengah tahun saya melanggan unifi lite. TM membuat promosi baru lagi, dengan beza RM10 sahaja pelanggan boleh mendapatkan kelajuan 30mbps berbanding 10mbps. Malangnya, promosi tersebut hanya layak untuk pengguna baru. Sekiranya saya sebagai existing subscriber mahu mendapatkan 30mbps, saya perlu membayar RM179. Alangkah kecewanya saya… rasa seperti mahu tamatkan sahaja dan langgan semula.
Bagaimanapun, saya ada kontrak 2 tahun dengan TM. Saya akan dikenakan penalti RM500 jika menamatkan kontrak. Terasa amat rugi, orang lain hanya membayar lebih RM10 dari saya, sudah boleh mendapatkan 30mbps.
Masalah ini bukan sahaja menjadi rungutan saya, polisi tidak adil ini turut dihadapi oleh ramai pengguna unifi sedia ada… setiap kali promosi baru dilancarkan. Bayar sama, tapi speed berbeza. Lebih-lebih lagi pengguna streamyx… Ini sememangnya membuatkan ramai pengguna sedia ada makan hati.
Review Unifi Lite 129.
Pada awalnya saya melanggan unifi, saya ingatkan boleh menggantikan TV. Beli Android Box dan install HyppTV. Tak perlu bayar lebih semata-mata untuk dapatkan box unifi. Bijak kan saya? Haha… Namun, TM juga tidak bodoh. Aplikasi mereka hanya boleh digunakan pada smartphone dan tablet sahaja, tidak pada android box. Mahu gunakan hypptv (sekarang unifi play) di TV? kenalah subscribe beserta box mereka. Haha..
Mujurlah TM memberikan langganan iflix percuma untuk pengguna unifi, boleh lah layan iflix dan Youtube. Walaupun melayan laman web streaming sememang menjenuhkan kerana banyak iklan dan streaming yang pastikan akan buffer. Sekurangnya terubat la sedikit kedukaan.
Sepanjang setahun saya melanggan servis TM, tiada langsung masalah line seperti yang dirungutkan oleh kawan-kawan saya di facebook. sama ada line Unifi down, slow dan sebagainya. Alhamdulillah.
Dari segi kelajuan bagi saya 10mbps adalah OK. mencukupi, line juga stabil… nak buat apa lagi? Kekal lah dengan Unifi Lite RM-129 (10mbps). Nak dapatkan promo Unifi RM139 (30mbps) tak layak, takkan nak bayar RM179 kan?
Bila Pelan Unifi Turbo Dilancarkan
Pelan unifi turbo bagi saya pelan yang mengubah segalanya.. (amboi), mana tidaknya ia terbuka kepada semua pengguna unifi. Termasuk saya. Alangkah gembiranya saya. Ya lah, saya bukannya layak untuk free upgrade kepada 100mbps… nak tunggu layak, tak tahu bila. Jadi tukar plan sahaja lah cara mudah.
Bayangkan dengan harga yang sama, kelajuan 10 kali ganda. Takkan saya nak terus kekal dengan pelan unifi lite -129 kan. Walhal dengan harga yang sama saya boleh dapatkan kelajuan 100mbps berbanding 10mbps, beserta free call sebanyak 600 minit ke semua rangkaian.
Hari sabtu juga saya call TM,
“Encik kena tunggu 12 Sept”
haha..
Punyalah gigih nak upgrade, 12 sept saya call TM 100 lagi.
Kalau berdasarkan operator, memanglah saya tidak dikenakan sebarang bayaran.. Namun saya hanya layak untuk unifi basic 30mbps (RM79/sebulan dengan kouta 60GB). Hal ini disebabkan line di apartment saya hanyalah line copper. 30mbps ni maksimum yang boleh dicapai sebagaimana kata juruteknik TM sewaktu pemasangan dahulu.
Bagaimanapun, operator menyarankan saya ke TM Point. Manalah tahu boleh buat sesuatu. (belum cuba belum tahu)
Apa lagi… minta kebenaran dengan bos, untuk keluar sekejap ke TM Point. Namun, ada saja cobaan. Waktu itu jugalah TM ada fire drill. Haha… lama jugalah tunggu dalam kereta, nak patah balik memang tak la.
Bila Di TM Point
Sewaktu mengambil nombor giliran, pegawai perempuan di kaunter pelanggan bertanya kepada saya.
“Ada kontrak tak? Kalau ada kontrak kena bayar RM200.” Dengan muka yang ketat..
“Tapikan saya bukan downgrade, ataupun upgrade. Harga sama RM129.” Dalam hati saya, gilalah. Saya dah call dah TM 100, memang tak da cas. Hanya perlu renew kontrak sahaja.
“Tetap kena bayar” Dia bertegas.
Tak puas hati dengan jawapan tu, saya berkeras untuk tunggu giliran untuk jawapan pasti. Saya takkan balik sehingga ada jawapan yang memuaskan hati. Kalau betul la kena bayar, memang zalim la TM. Boleh tukar plan, tapi kena denda. Baik tak payah open plan tu kalau macam tu.
Sebaik duduk di kaunter, sekali lagi saya mohon kepastian.
“Tak perlu bayar. Just renew kontrak dan tukar plan.” Jawap pegawai di kaunter.
Alhamdulillah. Surut sikit perasaan tak puas hati ni. Tapi saya tak layak untuk 100mbps, hanya 30mbps sahaja untuk high rise building. Alasannha sama… apartment saya hanya gunakan copper, bukannya fibre optic.
Walaupun Tak Dapat 100mbps
Mulanya hampa juga.. Ya lah, walaupun hanya RM79/sebulan dengan kelajuan 30mbps. Tapi ada kouta 60GB. Dengan kelajuan 30mbps tu sebenarnya, 60GB tu macam air mengalir saja.
“Sekejap ye, saya cuba tanya kalau kita boleh bagi pelan lain” kata pegawai di kaunter.
Dipendekkan cerita, saya ditawarkan plan 30mbps unlimited qouta pada harga RM109.
Saya kira itu adalah budi bicara di TM Point. Pegawai tersebut menyatakan saya jimat RM30 dengan tawaran tersebut, sebab sebelum unifi turbo, 30mpbs ni berharga RM139. Bagi saya pula, oklah.. Kurang RM20 dari harga unifi lite, speed pula naik dari 10mbps ke 30mbps dan unlimited kuota.
Apa lagi yang saya boleh buat? Dengan infrastruktur untuk apartment saya tak mengizinkan… maka saya terimalah seadanya. Berbanding membayar harga yang sama iaitu RM129, tapi kelajuan berbeza 10 kali ganda. Saya pilih untuk akur. Nak mohon unifi basic dengan kouta 60GB, bagi saya tak padan.
Cuba juga tanya nak tukar modem. Tapi tak dapat melainkan modem rosak dan bermasalah. haha..
“Kalau dari segi plan, akan datang encik layak dari 30mbps ke 300mbps free upgrade.”
Saya gelak sahaja, fibre optic pun tak da… nak dapat free upgrade macam mana.
Saya ada juga bertanya kalau-kalau TM akan upgrade infrastuktur mereka di tempat tinggal saya.
Kekangan Infrastruktur
Pegawai cakap, kos akan ditanggung oleh JMB/JMC.
Bagi yang tinggal apartment, tahulah apa itu JMB/JMC. Badan pengurusan yang mengurusan penyelanggaraan bangunan, tempat kita bayar bill maintenance bulan-bulan.
Lagi la saya gelak. Sebab saya AJK JMC. saya tahu… pastinya bukan murah nak tukar copper ke fibre ni. Sudahlah banyak lagi benda nak kena bayar. Inikan pula nak tukar copper ke pada fibre. Kontraktor pula mestilah dari TM, memang berlipat-lipat lah kosnya.
Dan satu lagi.. Sekalipun menukar infrastruktur TM dibuat. Dari bilik TM ke rumah pula… yang ditanam di dalam dinding tetap juga copper dan bukannya fibre. Itu siapa pula nak tanggung? Semestinya tuan rumah..
Bagi rumah-rumah baru, mereka inilah yang akan merasa peningkatan kelajuan dan harga internet yang lebih baik ni. Pastinya infrastruktur mereka dilengkapi dengan fibre optic. Maka pengguna streamyx dan unifi yang tersekat pada kabel copper. Boleh lah berhuhuhu… bersama.
Kesimpulannya…
Ianya bukan hanya soal TM.. Banyak benda yang bersangkut paut dalam tanggungjawab meningkatkan infrastruktur ini. Antaranya pihak kerajaan, pemaju, pengurusan bangunan dan diri kita sendiri. Sama ada sedia menanggung kos atau tidak?
Tapi kita boleh fight bab harga.
Bila baca pasal aduan abang yang mengadu perlu bayar RM199 untuk 30mbps tu, kemudian diturunkan RM139 untuk 30mbps (selepas buat aduan). Saya pilih untuk bersyukur… sekurangnya saya hanya perlu bayar RM109 sahaja. Itupun kalau TM tak drop kouta 60GB pada pelan RM79 pada masa akan datang, kalau tidak… pastinya saya akan melompat juga. Ye lah, speed yang sama pada kadar berbeza. Macam trivago pula… Haha..
Wahai TM, nanti kalau korang nak drop kuota 60GB untuk pelan 30mbps (RM79/sebulan) tu.. amatlah digalakkan. Tapi jangan lah open untuk new subscriber sahaja ya. Kasihan lah saya…
(menunggu jurutenik TM untuk esok hari.)