Dakwah, mempunyai dua intipati utama. Iaitu menyeru kepada kebaikan serta mencegah kepada kemungkaran, sesuatu dakwah itu berperanan untuk mendekatkan manusia kepada Allah Subhana Wa Ta’ala.
Orang yang melaksanakan dakwah dikenali sebagai da’ie manakala orang menerima dakwah pula dikenali sebagai mad’u. Namun sesuatu yang pasti dakwah itu hanya satu usaha untuk menyampaikan kerana yang memberikan hidayah hanyalah Allah Subhana Wa Ta’ala.
Pada kali ini penulis ingin menyelongkar dakwah dari konteks yang berbeza. Iaitu dari segi suasana mahupun pelaksanaan sesuatu dakwah di sekitar kita. Penulis ingin mengajak para pendakwah yang singgah di laman ini merenung tiga (3) perkara.
1. Ukur baju di badan sendiri – Melalui ‘ukur baju di badan sendiri’ kita boleh menyukat ilmu kita, masa kita, fizikal kita dan sebagainya. Dengan itu kita boleh mengetahui tahap kita sebagai pendakwah sama ada tahap tinggi atau sebaliknya.
Kenapa penulis mengatakan ‘ukur baju di badan sendiri’? Kerana dengan mengetahui level kita dalam landasan dakwah akan memudahkan kita menguasai diri dan suasana. Kita akan mengetahui di mana kelemahan dan di mana kekuatan untuk bersama-sama kita manfaatkan dan ditingkatkan.
Sebaliknya mengukur baju di badan orang lain secara logiknya adalah kerja yang sia-sia.
Sebagai contoh kita dan jiran sebelah menentang musuh yang sama. Si jiran mengangkat bermacam senjata seperti meriam dan bazoka. Tetapi kita hanya memiliki parang saja, adakah kita perlu ikut cara mereka? Lancarkan perang walaupun di dalam tangan hanya ada parang. Bukankah itu gelojoh namanya, kenapa tidak kita usaha kumpulkan kekuatan sebelum menyistiharkan peperangan? Mungkin masanya lama, tetapi pasti akan menghasil sesuatu yang indah. Mungkin bukan hari ini tetapi ketiaka anak-anak kita mentadbir negara.
Penulis tidak menolak untuk mencontohi kelompok lain, tempat-tempat lain ataupun sesuatu teori dalam bahan bacaan, tetapi ia hendaklah diselaraskan dengan kemampuan kita dan suasana kita. Walaupun sesuatu itu nampak indah tetapi belum ia sesuai sepenuhnya untuk kita, mungkin perlu dilakukan pengubahsuaian di sesetengah bahagian. Dakwah perlu selaras dengan persekitaran.
Kita bimbang tabiat mencontohi kelompok lain, tempat-tempat lain ataupun sesuatu teori dalam bahan bacaan dengan membabi buta tanpa menyelaraskan dengan kemampuan kita akhirnya memakan diri. Oleh itu ukurlah baju di badan sendiri! Tidak salah untuk mencontohi, tetapi ia mestilah diselaraskan setiap hati-hati.
2. Kemampuan Mad’u – Kita perlu menilai sejauh mana tahap kemampuan mad’u kita. Sama ada dari segi ilmu, masa dan dan penerimaannya. Sekiranya kemampuan kita tidak boleh menandinginya masalah ‘kronik’nya, jangan sesekali hendak mencuba. Bimbang seperti tikus memperbaiki labu.
Sebaliknya jika level mereka rendah, kita juga perlu merendahkan level kita. Sebagai contoh, takkan hendak bercerita tentang jihad kepada seorang masih belum kenal pun asas islam yang sepatutnya. Dikhuatiri kedua-dua situasi ini akan mengundang padah sekiranya terus dipaksa. Mungkin bukan pada kita, tetapi pada mereka… kerana ia keserasian yang dipaksa.
3. Pihak ketiga – Kita perlu ketahui faktor luaran yang mempengaruhi dakwah kita. Kawan atau lawan kita perlu analisis dengan sebaiknya, tersilap langkah hanya membuatkan kawan menjadi lawan manakala lawan terus menolak kebenaran.
Sedangkan langkah bijak akan membawa keuntungan, mengambil kawan menjadi teman seperjuangan. Mengubahkan lawan menjadi pendokong kebenaran. Insya’Allah…
Sekian sahaja daripada penulis,
“renung-renungkanlah wahai teman!”